Saturday, 24 January 2015

Cerpen: Oh My Mr. Sniper!



“Aduh, sakitlah! Kenapa tiba-tiba aku kena belasah pulak ni?” Amirul mengerang kesakitan apabila tiba-tiba mukanya ditumbuk oleh perempuan itu. Tidak cukup dengan itu, perempuan itu turut memulas tangannya. Berkerut-kerut dahi Amirul menahan kesakitan. Sekali tengok dah macam babak dalam action movie pulak. ‘Bala apa pulak ni? Satu-satu bencana datang. Tak boleh ke aku nak relax kan badan ni? Kejap pun jadilah.’

                Tanpa belas kasihan, perempuan itu mengheret lelaki itu ke tepi garaj, lantas melilitkan tubuhnya dengan hos paip. Tak boleh jadi ni! Makin menggila pulak perempuan ni. Mungkin terlepas dari Tanjung Rambutan agaknya. “Hoi, orang gila! Lepaskan aku lah! Berapa kali aku nak cakap aku ni anak tuan rumah ni la!”
                “Baik kau duduk situ diam-diam sebelum gigi kau terpelanting kena tampar dengan aku!” Irdeena tersenyum sinis sambil matanya mengawasi tingkah laku lelaki di hadapannya ini. ‘Bising betul la mamat ni. Muka pun macam penyangak, ada hati nak mengaku anak tuan rumah. Dia tengah buat lawak ke apa?’
                “Ingat aku takut ke? Dasar orang gila!” Makin galak raungan Amirul. Dia betul-betul bengang! Sudahlah keretanya rosak, kunci rumah pulak tertinggal dalam kereta tadi, lepas tu bergelut dengan perempuan gila ni pulak! Hadoi, ni bukan setakat jatuh ditimpa tangga, tapi dah tahap ditimpa KLCC ni!
                “Berani kau melawan ye!” Tanpa berfikir panjang, Irdeena mengangkat tangannya separas bahunya.
                “Irdeena! Mirul! Masya-Allah, apa dah jadi ni? Macam mana kamu boleh terikat kat tiang ni pulak, Mirul?” Datin Noriza mengurut dadanya. Dia memandang satu persatu wajah di hadapannya. Tangan Irdeena yang sudah terangkat tadi statik. Belum sempat mendarat lagi ke muka lelaki itu. Amirul pula buat muka innocent sambil menarik nafas lega kerana insan yang ditunggu dari tadi sudah pulang.
                “Mama tanyalah kat perempuan gila ni. Tiba-tiba je serang Mirul, orang tak buat apa-apa pun.” Amirul buat muka seposen sambil melemparkan senyuman sinis ke arah Irdeena. Datin Noriza memandang tepat wajah Irdeena. Dia menunggu penjelasan daripada anak sahabat karibnya itu. ‘Padan muka kau perempuan gila. Siapa suruh cari pasal dengan anak kesayangan Datin Noriza?’
                “Sebenarnya saya ingatkan dia ni perompak. Yelah, nampak macam suspicious je tengah-tengah hari rembang ni panjat pagar. Curious lah saya. Lepas tu, saya call Datin banyak kali tapi tak berangkat pulak. Itulah saya tunggu Datin balik dulu untuk cam betul ke tak dia ni anak Datin.” Irdeena menjelaskan situasi sebenar dengan lancar dan yakin. ‘Relax, Irdeena. Jangan gelabah, ni baru first day kerja. Logiklah kalau kau tak kenal dengan mamat ni. ’ Datin Noriza tersenyum sambil menggelengkan kepala.
                “Well done, Irdeena. You’ve done a good job.” Ujar Datin Noriza sambil menepuk bahu Irdeena. Terbeliak mata Amirul mendengar kata-kata mamanya. ‘Apa? Good job? Mama ni betul-betul tak sayang aku ke? Sampai hati mama menangkan perempuan gila tu.’ Datin Noriza menyambung, “Tapi, sebelum buat apa-apa tindakan, selidik dulu betul-betul. Bertindak terburu-buru kan amalan syaitan.”
                “Itulah, ada otak letak kat lutut. Lutut pulak letak kat mana entah.” Amirul turut melampiaskan rasa geramnya.
                “Amirul Asyraf,” Datin Noriza menegur anaknya.
                “Tapi, saya dah contact Datin tadi...” Irdeena masih tidak berpuas hati. Dia yakin tindakannya betul.
                “Aunty minta maaf sangat. Tadi handphone tertinggal dalam kereta. Aunty tak tahulah kenapa aunty careless sangat sekarang ni.” Datin Noriza menggelengkan kepalanya. Dia benar-benar kelam kabut hari ni kerana ada meeting penting dengan klien di butiknya.
                “Saya minta maaf aunty. Saya terlalu terburu-buru.” Ujar Irdeena dengan rasa kesal. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia tiba-tiba saja rasa bersalah. Mungkin kelembutan Datin Noriza sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Datin Noriza menepuk lembut bahu Zurina sambil melangkah masuk ke ruang tamu.
                “Ehemmmm.” Sengaja Amirul berdehem dengan kuat. Tubuhnya masih lagi terikat di tiang garaj kereta itu. Tiada respon.
“Hoi, perempuan gila! Kau nak bagi aku mati keras kat sini ke?”
*             *             *
Keratan akhbar yang bertajuk “Habis Dijilat Api” dibacanya berulang kali. Irdeena menggaru kepalanya yang tidak gatal. Untuk apa pengirim itu mengirim akhbar itu kepadanya? Siapakah pengirim misteri itu? Irdeena meletakkan keratan akhbar ke dalam sebuah kotak yang turut mengandungi keratan akhbar lain yang mengandungi berita yang sama yang diterimanya semenjak dia menyiasat kes kematian Encik Fauzi.
“Apa kaitannya kebakaran rumah banglo Taman Indah dengan kes kematian Encik Fauzi?” Sakit kepala dia memikirkan kes ini. Dah dua puluh tahun dah kes kebakaran tu berlaku. Kenapa baru nak bangkitkan sekarang?
“Ah, aku bukan boleh buat apa pun. Sekarang ni aku dah tak kerja polis pun. Tak payah la nak serabutkan kepala otak ni. Baik aku bagi je semua benda ni kat polis.” Ujar Irdeena sambil cuba melelapkan matanya yang tidak mengantuk. Biasanya waktu-waktu malam macam ni dia masih ligat menyertai team operasi. Tak pun ke lokasi kes jenayah untuk buat siasatan. Ah, rindunya dia pada zaman dia bergelar Inspektor!
Tapi apakan daya, zaman tu dah berlalu. Lepas saja dia ditembak, mak langsung tak bagi dia kerja polis lagi. Kecewa tu memanglah kecewa. Tapi nak buat macam mana. Mak terlalu bimbangkan keselamatannya. Dari dulu lagi, mak tak pernah menyokong cita-citanya.
Kalaulah dia tak cuai pada malam tu, sudah tentu pembunuh tu dah berjaya ditangkap. Hai, malang sungguh nasibnya malam tu. Dah la suspek terlepas, bahu dia pulak kena tembak!
“Daripada aku duk serabut fikirkan benda bukan-bukan, baik aku fikirkan Muzzafar.” Irdeena tersengih sorang-sorang sambil menatap wajah kekasih hatinya di skrin handphone. Dia benar-benar rindukan Muzzafar.
*             *             *
Gambar yang diterima pagi tadi benar-benar mengusutkan kepalanya. Gambar itu merupakan gambar Irdeena tersenyum manis memakai topi mortar board semasa majlis graduasi tadika dulu. Selain dari gambar itu, keratan akhbar berkenaan dengan kemalangan ayahnya turut disertakan. Siapa pengirim misteri ni? Kenapa dia perlu berteka-teki dengan aku ni? Mengapa dia libatkan sekali kemalangan ayah aku? Macam mana dia boleh ada gambar aku? Seram sejuk Irdeena dibuatnya. Makin difikirkan makin dia serabut. ‘Mungkin ni provokasi untuk takut-takutkan aku je kot?’
“Irdeena, apa yang berasap sangat kat dapur tu? Macam bau hangit je!” Laung Datin Noriza dari ruang tamu. ‘Aduh, Irdeena! Macam mana la kau boleh tak perasan ni? Ni semua sebab gambar tu lah. Habis hilang konsentrasi aku. Waduh waduh, gi mana sih?’
“Irdeena minta maaf, aunty.” Datin Noriza hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Lepas basuh kuali tu, cuba masak lagi sekali. Dalam besen tu tak habis lagi tepung buat cucur kan?” Irdeena mengangguk lemah. Cucur yang rentung itu dibuangnya ke dalam tong sampah. Kesian cucur, dah hitam legam macam telur masin rupanya. Sayang, tak boleh nak jamah langsung. Teringat pulak pesan mak supaya tak membazir makanan.
Dengan ini, bermulalah semula episod menggorengkan cucur jagung dengan diawasi sendiri oleh Datin Noriza. Sabar betul Datin Noriza mengajar Irdeena yang buta dapur ni! Bukan setakat buta dapur je, Irdeena juga memang kosong dalam bab-bab hal ehwal rumah tangga ni! Mungkin sebab tu mak memaksa dia menggantikan orang gaji Datin Noriza yang kini sedang bercuti kerana menjaga anaknya dalam pantang. Kalau duk kat rumah pun, semua urusan rumah memang diserahkan bulat-bulat pada maknya. Kalau nak tahu Puan Zaiton ni, merangkap mak Irdeena teramatlah cerewet. Bukannya dia tak mahu menolong, tapi, maknya cerewet sangat. Ada je yang tak kena. Susunan sengetlah, lantai tak berkilatlah. Sudahnya, dia sendiri pun malaslah nak tolong.
“Mama, ada apa-apa yang hangit ke? Bau semacam je.” Dah balik dah si Mr. Sniper sorang tu. Lazimnya, setiap kali balik ada je modal nak tembak Irdeena dengan mulut berbisanya tu. ‘Baik aku sembunyikan diri sebelum kena tembak dengan mamat ni.’
“Eh, Mirul. Jemputlah makan cucur jagung ni. Sedap!” Datin Noriza menghulurkan sebekas cucur jagung yang baru digoreng. ‘Nasib baik Datin pandai ubah topik Terima kasih, Datin sebab dah selamatkan aku. Kalau tak, mahu bernanah telinga aku terkena  beberapa das peluru berpandu dari mulut machine gun mamat tu.’
Irdeena cepat-cepat ke dapur untuk membasuh segala peralatan dapur. Dia ingin segera mengangkat kaki dari situ. Tak kuasa dia nak mengadap singa lapar tu.
“Aduhhhh!” Entah macam mana, disebabkan terlalu kalut, tangannya tersentuh cerek panas. ‘Sejak bila pulak cerek ni ada kat sini?’
“Meh sini tangan. Aku nak tengok.” Suara garau itu nyaris membuatkan Irdeena melatah. Kenapa mamat ni ada kat sini sekarang? Kat mana pulak Datin ni? Kan bagus kalau Muzzafar yang ada kat sini. Hai, sempat lagi fikirkan Muzzafar ye.
“Takpe, biar saya settle kan tangan saya sendiri.” Tak ingin aku bagi free show kat dia. Lantas, Irdeena membasuh tangannya di sinki. Lama jugak dia membiarkan air sinki membasahi tangannya.
“Kau nak bagi banjir ke kat rumah ni? Dah dah la basuh tangan tu.” La, mamat ni lagi? Kenapalah aku perlu mengadap mamat ni di saat-saat macam ni? Amirul terus saja menarik kasar tangan Irdeena.
“Hei, lepaskan tangan aku la!” Sepantas kilat, Amirul mengelap tangan Irdeena dan menyapukan antiseptik. Akhirnya, selesai jugak sesi rawatan kecemasan itu walaupun tangan Irdeena tak reti nak duduk diam.
“Tu lah, lain kali ada mata tengok. Bukannya letak kat lutut.” Sempat lagi Amirul menembaknya petang tu. Eeeee, tak berhati perut langsung la manusia sorang ni!
*             *             *
Semua persiapan diatur dengan teliti sekali. Malam ni merupakan majlis ulangtahun perkahwinan Datin Noriza. Datin Noriza kelihatan begitu anggun sekali menggayakan baju kurung sutera vietnam berwarna peach. Shawl Half Moon labuh yang dililit kemas menyerlahkan lagi keayuan wajah bujur sirih milik Datin Noriza. Ramai juga tetamu yang hadir. Irdeena tersenyum seperti terlebih gula apabila ternampak susuk tubuh yang amat dikenalinya. Dia membetulkan tudung dan bajunya sebelum bertemu dengan lelaki itu.
“Hai, Abang Muz. Dah lama ke sampai?” Irdeena melemparkan senyuman yang paling manis buat kekasih hatinya. ‘Alahai, handsome nya dia malam ni. Malam ni tidur tak lena la nampaknya.’
“Eh, Dee rupanya! Ingatkan bidadari dari kayangan tadi. Sejak bila sayang abang ni bertukar jadi perempuan melayu terakhir ni?” Muzzafar membalas senyuman Irdeena. Matanya terpaku dengan keayuan Irdeena. Seingatnya, inilah kali petama dia melihat Irdeena memakai kain.
“Amboi, agak-agaklah perli. Seganas-ganas Dee, Dee masih perempuan sejati tau.” Irdeena tersipu-sipu malu. Mukanya hangat macam baru keluar dari oven.
“Sebab Dee ganaslah abang jatuh hati kat Dee tau. Abang rindukan Dee. Dee tak rindukan abang?” Irdeena tersenyum simpul. Dia malu apabila terkenangkan detik pertama kali pertemuan mereka.
 “Hoi, bibik mereng! Kat sini rupanya kau menggatal ye? Pergilah ke dapur tengok apa-apa yang kau boleh buat.” Sergahan Amirul membantutkan perbualan mereka. ‘Geram pulak aku tengok perempuan gila ni duk menggedik-gedik kat sepupu aku ni. Jagalah maruah diri tu sikit. Panas betul hati aku!’
Dengan hati yang terpaksa, Irdeena melangkah ke dapur. ‘Eeeeee.. Geramnya... Geram sungguh! Kacau line betullah mamat sorang ni. Tak beragak betul tuduh aku ni menggatal. Siap panggil aku bibik mereng lagi! Memang mulut betul-betul tak insurans langsung. Dasar Mr. Sniper! Tau nak tembak orang je!’ Irdeena memerah span dengan sekuat hatinya. Hati dah terbakar rentung ni! Panggil bomba pun bomba cabut lari.
‘Sabar Irdeena, sabar. Kau tu orang gaji, kenalah buat cara orang gaji. Takpe, takpe. Tinggal lagi sebulan je lagi. Lepas tu aku nak blah dengan gembira! Senang hati aku tak payah mengadap Mr. Sniper tu.’ Nasib la ada sedikit iman di dada. Kalau tak mau pecah semua pinggan mangkuk kesayangan Datin Noriza kat situ.
‘Tapi, aku rindu la pulak kat Datin. Datin lembut sangat. Apasallah anak dia ni tak ikut perangai lembut Datin?’ Sambil berfikir, tangannya cekap mencuci pinggan mangkuk yang berlambak seperti harta karun.
‘Tapi kadang-kadang si Mr. Sniper tu gentle jugak, kan?’ Irdeena tersenyum sendiri apabila terpandang parut pada belakang tapak tangan kanannya.
 ‘Arghh, betullah aku dah mereng tiba-tiba pergi puji mamat tu.’ Irdeena cepat-cepat menarik balik pujiannya. Malaslah nak fikir pasal dia. Harap muka je handsome, tapi mulut tak habis-habis dengan peluru berpandunya! Macamlah dia bagus sangat! Buat sakit hati je fikir pasal mamat bajet bagus tu.
*             *             *
Dia menatap keratan akhbar tentang kebakaran sebuah banglo di Taman Indah yang bertampal di dinding biliknya. Di sudut kanannya, ditampalkan keratan akhbar tentang kes kemalangan yang menyebabkan kematian Koperal Hafsyimi. Di sebelahnya, terpampang pula keratan akhbar tentang kes pembunuhan Encik Fauzi. Di sudut bawah kanan pula, terdapat gambar seorang gadis. Dibulatkan gambar itu dengan pen marker merah.
                “Mana kau nak lari, huh? Kau takkan boleh lari dari aku! HAHAHA!” Dilihat senarai check list yang tergantung di tepi katilnya. Hanya tinggal seorang saja lagi targetnya. Dia tekad untuk meneruskan misinya. Itu janjinya!
                “Kenapa susah sangat nak hapuskan kau ni?” Lelaki itu mendakap kemas gambar gadis itu. Berkali-kali dia mengucup gambar gadis itu.
                ‘Sebabnya kau cintakan dia.’ Hatinya menjawab persoalan itu.
                “Arghh, aku tak boleh jatuh cinta dengan dia! Tak boleh sama sekali! Dia dah musnahkan keluarga aku!” Dia menafikan suara hatinya.
                “Mama, papa, Ery. Abang Long janji akan musnahkan mereka semua.” Lelaki itu menangis teresak-esak sambil memeluk bingkai gambar keluarganya pula. Akhirnya dia terlelap dalam tangisan yang panjang.
*             *             *
Hari ni merupakan hari terakhir dia bergelar bibik atau dalam bahasa Malaysianya orang gaji. Alhamdulillah, kini dia sudah cekap buat kerja rumah. Oppss, terbangga diri pulak! Tak sia-sia kesabaran Datin Noriza mengajar dia. Terima kasih, Datin. Jasamu akan dikenang sampai bila-bila. Dah rasa macam buat ucapan penghargaan pula. Yang anehnya, setiap kali Amirul ada kat rumah, dia asyik kena maki hamun je dengan mamat tu. Takkan mamat tu PMS sepanjang masa kot?
Petang itu, seperti biasa Irdeena pulang ke rumahnya bersama motosikal Yamaha Lagenda kesayangannya. Entah apa malang nasibnya hari tu, tiba-tiba dia dikepung oleh tiga orang lelaki bermotosikal. Semuanya memakai helmet full face ala-ala perlumbaan motor GP.
“Hoi, perempuan!” Bentak salah seorang daripada mereka yang berbadan agak besar daripada yang lain. Hampir terkoyak tudung Irdeena direntap oleh lelaki itu.
“Gua tak sangka lu hidup lagi rupanya! Ingatkan lu dah mati hari tu! Liat jugak nyawa lu ni!” Seorang lagi lelaki bersuara dari arah belakang Irdeena. Jantung Irdeena berdegup kencang. Deorang ni ke yang tembak aku dulu ke? Deorang ni terlibat sama ke dengan kes pembunuhan Encik Fauzi? Irdeena mengeraskan badannya dan bersiap sedia menghadapi musuh di hadapannya itu. Dengan pantas, Irdeena menolak tubuh lelaki yang merentap tudungnya.
“Kurang ajar!” Pekik lelaki itu. Tolakan Irdeena sedikit pun tidak memberi kesan pada tubuh sasa lelaki itu. Irdeena rasa hampir lemas apabila tubuhnya dipeluk oleh lelaki durjana lain dari belakang. Manakala, seorang lagi lelaki mengacukan pistol tepat ke arahnya. ‘Hai, Irdeena, sejak bila kau jadi lembik ni? Mana pergi segala ilmu silat kau ni? Tak boleh jadi ni!’
Dengan pantas Irdeena memijak kaki lelaki yang memeluknya dan menggigit tangan lelaki yang merentap tudungnya. Hasilnya, kedua-dua lelaki itu menjerit kesakitan. Irdeena berjaya melepaskan diri dari cengkaman jantan durjana itu. Baru saja dia hendak menarik nafas lega, kaki kirinya terkena tembakan. Dengan pantas lelaki yang menembaknya tadi menarik tubuhnya. ‘Aduh, bilalah azab ni nak berakhir? Ya Allah, bantulah hambamu ini.’
Irdeena memejam matanya apabila terasa muncung pistol menyentuh ubun-ubun kepalanya.
“Ini kali, lu mati! HAHAHAHAHA!” Bisikan itu menggetarkan jiwanya. Tidak putus-putus kalimah Allah di hatinya. ‘Mungkin dah ini ajal aku, siapalah aku nak menghalang ketentuan Allah. Mak, Abang Fizi, Kak Tira, maafkan Dee ye.’
“Hari ni mungkin aku yang mati, esok lusa, mungkin korang pulak yang mati. Bertaubatlah sebelum terlambat. Tak ada manusia kekal hidup selama-lamanya. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya jualah tempat kita kembali,” ujar Irdeena. Sebak. Itulah perasaannya di saat genting ini. Dia rela mati memperjuangkan kebenaran daripada jadi orang yang pengecut! Itulah amanah yang digenggamnya sejak dia memohon jawatan polis selepas tamat ijazah dulu.
“Aku bukan datang sini nak dengar kuliah agama lah. Cepat kasi mampus ini perempuan.”
Muncung pistol dikemaskan kedudukannya. Irdeena hanya mampu mengucap di dalam hati. Dia redha.
*             *             *
Dua bulan kemudian.
                “Hello, aku nak jumpa korang sekarang jugak! Ada benda yang perlu diselesaikan.” Sambil menjamah maggi, lelaki itu melekapkan handphone ke telinganya.
                “Kali ni aku up kan sikit gaji korang. Jangan risau. Pernah ke aku mungkir janji?” Lelaki itu menyambung kunyahannya.
                “Ni kerja baik punya. Ok lah, jumpa nanti. Kau jangan lambat pulak! Jumpa kat tempat biasalah.” Lelaki itu tersenyum sinis. Dia segera menghabiskan maggi dan melangkah ke pintu.
                “Encik ditahan atas tuduhan membunuh Encik Fauzi. Sila ikut kami ke balai.” Baru saja dia melangkah keluar, tiba-tiba dia ditahan oleh pihak polis.
                “Nonsense, kenapa pulak aku nak bunuh dia? Apa buktinya?”
                “Nanti kita bincang di balai polis.” Dengan langkah yang longlai, dia diseret masuk ke dalam kereta polis.
*             *             *
                Lelaki itu menyandarkan badannya di kerusi empuk di biliknya. Surat khabar yang dibacanya tadi dicampaknya ke tepi. Diraupkan wajahnya berkali-kali. Dia benar-benar tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku. Kenapa masih wujud manusia yang berhati binatang yang sanggup membunuh saudaranya sendiri? Dia beristighfar berkali-kali untuk meredakan amarahnya yang meluap-luap.
                Pandangannya kini terarah pada sapu tangan yang diseluk dari poketnya. Berkali-kali dia mencium bau harum pada sapu tangan itu. Sapu tangan itu mengingatkan dia pada seseorang. Sapu tangan inilah yang digunakan untuk mengelap tangan gadis itu sewaktu tangannya melecur dulu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia sering teringat pada gadis itu.
                “Tak boleh jadi ni. Kenapa aku asyik duk teringat kat dia je ni? Penyakit mereng dia dah berjangkit kat aku ke?” Dia menggelengkan kepalanya berulang kali.
                “Tak pun aku dah terkena jampi dia kot? Ah, perasan la kau. Buat bazir tenaga dia je nak jampi aku. Bukannya dia minat kat aku pun.”
                ‘Mungkin ni kot balasannya sebab kau banyak sakitkan hati dia.’ Bisik hati kecilnya. Mungkin juga. Dia benar-benar dihimpit rasa bersalah.
‘Itu lah, time dia kat depan mata asyik nak bertekak je. Sekarang ni, bila dia dah tak ada, baru nak rasa menyesal. Kau ni memang tak guna betullah, Mirul!’ Terbayang wajah Irdeena yang kemerah-merahan menahan marah setiap kali berdepan dengannya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia suka sangat cakap kasar dengan perempuan itu.
                “Irdeena, aku minta maaf. Aku selalu sakitkan hati kau.” Amirul tahu dia sudah terlambat untuk memohon kemaafan daripada perempuan itu. Kini, dia benar-benar menyesal dengan perbuatannya dulu.
*             *             *
                Angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut pipi pengunjung tanah perkuburan Islam itu. Usai bacaan Yasin, masing-masing menjiruskan air mawar di atas pusara itu. Puan Zaiton tidak dapat menahan sebaknya, lalu, air matanya tumpah di atas pusara itu.
“Sabar, mak. Jangan menangis, mak. Kita yang hidup ni kena kuat untuk teruskan perjuangan,” ujar Abang Fizi cuba menenangkan mak. Air mata mak masih lagi bercucuran di pipi dan tidak ada tanda-tanda mahu berhenti. Hatinya sungguh pilu mengenangkan detik-detik terakhir bersama arwah.
 “Mak bukannya apa. Mak rindu sangat kat ayah kamu. Kalaulah ayah kamu tak keluar malam tu.”
“Tu semua takdir mak. Mak patut bangga sebab dapat suami yang berani macam ayah,” Bergenang air mata Irdeena. Dia amat mengagumi ayahnya, Koperal Hafsyimi. Sebab itulah, dia rela menjadi anggota polis walaupun dihalang oleh mak dan abangnya. Mungkin genetik ayahnya sangat kuat dalam dirinya.
“Pandailah kamu cakap. Diri sendiri pun tak reti nak jaga. Tak ada pasal, nak cari pasal. Dah elok-elok dapat ijazah, sibuk nak jadi polis. Degil, ikut kepala dia je, tak serik-serik kena tembak hari tu. Nasib baiklah umur kamu masih panjang lagi. Kalau tak, boleh sakit jantung mak ni.” Haa, dah mula dah sesi leteran Puan Zaiton. Jangan tak tahu ye puan-puan, Puan Zaiton ni kalau dah mula beleter payah nak tekan brek berhenti.
Ini semua gara-gara kes Irdeena dikepung oleh tiga lelaki durjana tu. Alhamdulillah, dia sendiri tidak menyangka dia masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk hidup lagi. Sebenarnya, sebelum sempat dia ditembak di dahinya, ada kelibat lelaki yang datang menyelamatkannya. Akibat kehilangan darah yang banyak, Irdeena pengsan tanpa mengetahui identiti lelaki yang menyelamatkannya. Sedar-sedar je, dia sudah pun terbaring di katil hospital. Siapa yang menghantarnya ke hospital? Ada juga dia bertanya kepada pihak hospital, tapi jawapan yang diterima ialah orang yang menghantarnya ke hospital mahu merahsiakan identitinya.
*             *             *
Setahun kemudian.
 “Dengan ini, mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di bawah seksyen 302 kanun keseksaan ke atas Muzzafar Ahmad atas kesalahan membunuh Encik Fauzi bin Razali dan Koperal Hafsyimi bin Mat Isa dan hukuman penjara selama 20 tahun di bawah seksyen 307 kanun keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh Nur Irdeena bt Hafsyimi. Hukuman mati hendaklah dijalankan serentak dengan hukuman penjara.”  
Lelaki itu kelihatan tenang sekali di kandang tertuduh. Walaupun tuduhan yang dikenakan kepadanya berat, dia masih mampu lagi mengukirkan senyuman. Anak matanya sempat menangkap susuk tubuh seorang gadis yang berjaya menambat hatinya. Dia bersyukur kerana ditahan pada saat ini. Setidak-tidaknya, orang yang dicintainya belum sempat mati dibunuhnya. Pengalaman berada di penjara telah banyak menginsafkan dirinya.
                Dia sungguh menyesal dengan segala perbuatan kejinya dulu. Dia sedih memikirkan dirinya begitu mudah termakan hasutan Iblis sampaikan sanggup menjadi seorang pembunuh demi memuaskan dendamnya. Yang paling menyedihkan, dia sanggup bertekad untuk membunuh orang yang dia amat cintai demi memuaskan nafsunya. Bukan sekali, tetapi dah dua kali dia cuba membunuh gadis itu. Bila hati dikuasai Iblis, ditambah pula dengan iman yang senipis kulit bawang, dia hilang pertimbangan akal.
                “Dee tak sangka yang abang sanggup nak bunuh Dee. Dee betul-betul percayakan abang selama ni. Dee memang bodoh sebab terlalu mencintai abang selama ni.” Masih terngiang-ngiang kata-kata Irdeena saat mereka bertentang mata sebelum perbicaraan di mahkamah persekutuan hari ini. Habis bengkak-bengkak mata Irdeena menangis.
                Muzzafar hanya mampu mengalirkan air mata. Hatinya pedih bagai ditusuk sembilu. Dia tahu betapa kecewanya dan sakitnya hatinya Irdeena terhadapnya. Dia tahu tidak mudah bagi Irdeena untuk menerima kenyataan ini. Kalaulah dia tidak terlalu mengikut rasa dendamnya terhadap peristiwa dua puluh tahun dulu, semua ini takkan berlaku.
                 Dia masih ingat lagi suasana malam dua puluh tahun yang lepas itu sungguh meriah dengan bunyi mercun dan meriam buluh sempena menyambut ketibaan Syawal. Pada malam itu, Muzzafar keluar dari rumahnya untuk menyertai gengnya yang bermain meriam buluh. Tidak lama lepas itu, dia melihat kepulan asap tebal dari arah rumahnya. Dengan panik, Muzzafar terus berlari meninggalkan rakannya. Setibanya di rumah, dia melihat rumahnya hangus dijilat api. Di suatu sudut, dia melihat seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis teresak-esak dengan muka yang sangat pucat.
                Keesokannya, Muzzafar kembali ke rumahnya dan terdengar perbualan antara budak perempuan itu dengan seorang anggota polis.
                “Dah, pergi balik rumah Mak Long ye. Jangan menangis macam ni lagi ye, sayang.”
                “Tapi, Dee yang baling mercun bola tu. Dee dah buat salah, ayah.”
                “Dee tak sengaja, kan? Jadi, Dee tak salah. Dee dengar cakap ayah, Dee jangan bagitau sape-sape pun pasal hal ni, ok?”
                “Tapi...”
                “Jom, Dee. Kita balik sekarang.”
                Muzzafar bagaikan terkena kejutan elektrik. Benarlah, budak perempuan itulah yang telah membunuh ahli keluarga dia! Tidak lama selepas itu, pihak mahkamah memutuskan bahawa kebakaran itu adalah disebabkan kecuaian pemilik rumah. Memang dia tidak berpuas hati langsung dengan keputusan mahkamah itu. Dia meminta mahkamah untuk bersidang semula. Tapi, memandangkan dia baru berusia sembilan tahun ketika itu, pendapatnya ditolak mentah-mentah.
                Sejak itu, dia menyimpan dendam terhadap Encik Fauzi yang merupakan anggota penyiasat kebakaran yang terlibat dalam kes kebakaran itu. Dia juga geram dengan tindakan Koperal Hafsyimi yang menyembunyikan kebenaran gara-gara ingin melindungi anaknya! Hidup ni sungguh tak adil! Dia hilang keluarganya, dia hilang hartanya, dia hilang segalanya!  
                Tapi, baru kini dia sedar dia lagi kejam daripada Irdeena! Dia membunuh dengan sengaja! Tak ada rasa bersalah pulak tu! Dialah pembunuh yang sebenar!
                ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku ni,’ rintih Muzzafar. Kini, dia sedar dia belum hilang segala-galanya. Dia masih ada Allah tempat untuk dia bergantung. Dia berazam untuk bertaubat dengan taubat nasuha sebelum ajal menjemputnya di tali gantung.
*             *             *
Setahun kemudian.
                Subhanallah! Bibirnya tidak henti-henti menyebut kalimah itu. Dia bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah pada hari itu. Anak matanya menangkap pemandangan Padang Arafah dari puncak Jabal Rahmah. Padang Arafah yang sunyi dan rata sedikit sebanyak mengingatkan dia akan bayangan Mahsyar pada hari akhirat nanti. Tanpa dia sedari, air matanya menitis mengenangkan dosa yang telah dilakukannya.
                “Ya Allah, ampunilah dosa aku. Aku banyak sangat buat salah.” Rintih hatinya. Dia teringat akan dosanya pada Irdeena. Kata-kata kasarnya dulu sudah pasti menyakitkan hati Irdeena. Kali terakhir dia melihat tubuh Irdeena terbaring lemah di atas katil hospital. Tidak sanggup rasanya dia menatap wajah Irdeena yang pucat itu.
Peristiwa pada petang itu masih segar dalam ingatannya. Petang itu dia tiba di rumah lewat sedikit gara-gara traffic jam. Sebaik saja sampai ke rumahnya, mama memberitahu Irdeena baru saja balik. Amirul terus saja memecut kereta. Dia berasa sungguh tak sedap hati kerana dia sering terlihat beberapa motosikal yang mencurigakan lalu di kawasan rumahnya sejak Irdeena bekerja di rumahnya. Sebenarnya tanpa pengetahuan Irdeena, setiap hari Amirul mengawasi Irdeena dari jauh setiap kali Irdeena hendak pulang dari rumahnya.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi tembakan. Segera dia berlari ke arah bunyi tersebut dan mendapati Irdeena kaki Irdeena berlumuran darah. Tanpa teragak-agak, dia segera menendang lelaki tersebut dan merampas pistol itu. Dia terus menembak lelaki yang ditendangnya tadi. Manakala dua lagi lelaki lain menghilangkan diri. Matanya sempat menangkap nombor plat yang amat dikenalinya pada salah satu motor penjenayah itu. Macam mana pulak motor sepupu aku boleh ada kat sini?
Namun, keadaan tidak mengizinkan dia untuk mengejar motor itu. Dia harus segera bergegas ke hospital. Dia tidak putus-putus berdoa agar Irdeena dapat diselamatkan. Setibanya di hospital, Irdeena ditempatkan di red zone kerana keadaannya yang sungguh kritikal. Dia segera menawarkan diri untuk mendermakan darahnya bagi menyelamatkan nyawa perempuan itu. Pada ketika itu, hanya nyawa Irdeena yang berada di fikirannya.
Setiap hari dia akan bertapa di luar wad sehinggalah Irdeena discharge. Dia sentiasa bertanyakan keadaan Irdeena daripada mama dan keluarga Irdeena dari semasa ke semasa. Namun, dia tak punya kekuatan untuk berdepan dengan perempuan itu. Dia juga meminta merahsiakan perihalnya membantu Irdeena. Mungkin ini salah satu cara untuk menebus segala kesalahannya.
“Mirul, dah lambat ni. Karang terlepas bas pulak.” Panggilan mama membawa kembali fikirannya ke Tanah Suci itu.
“Mama turunlah dulu. Nanti Mirul turun bawah.”
“Jangan lama sangat ye. Mama dengan papa turun dulu ye.” Amirul mengangguk.
Amirul tersengih macam kerang busuk. Hai, kat tengah-tengah Jabal Rahmah pun aku boleh teringat kat perempuan tu!  Astaghfirullahalazim. Apa nak jadilah dengan aku ni? Makin kronik dah penyakit mereng aku ni.
Amirul segera berdoa menadahkan tangannya, berdoa pada yang Esa. Lama juga dia menadah tangan di situ. Dia benar-benar khusyuk dengan doanya sehinggalah telefonnya vibrate.
“Mirul, turun sekarang. Bas dah nak gerak ni.” Terkejut Amirul dibuatnya. Dia segera meninggalkan puncak Jabal Rahmah. Kelam-kabut dia lari dan mengelak daripada terlanggar pengunjung lain yang ada di situ. ‘Ya Allah, bagilah aku sempat naik bas.’
“Aduh!” Tiba-tiba dia terlanggar dengan seorang perempuan. Kesian, sampai terjatuh perempuan itu dilanggarnya.
“Sorry, sorry.” Pantas saja bibirnya meminta maaf tanpa melihat wajah empunya badan. Tapi, matanya terpaku pada parut di belakang tapak tangan kanan perempuan itu. Dia menoleh ke arah wajah perempuan itu. Jantungnya berdebar-debar saat terpandang wajah itu. Wajah itulah menyebabkan otaknya menjadi mereng.
“Saya minta maaf atas segala kata-kata kasar pada awak dulu. Awak maafkan saya tak?” Dengan terketar-ketar, akhirnya Amirul merendahkan egonya untuk meminta maaf kepada Irdeena. Tak ada gunanya dia ikutkan egonya. Dibuatnya dia mati dulu sebelum minta maaf kat perempuan tu, tak ke susah nanti kat padang mahsyar.
Irdeena tersenyum sambil mengangguk. ‘Makin handsome pulak Mr. Sniper sorang ni. Kenapa aku tiba-tiba nervous pulak ni? Hai, yang tangan aku pulak terketar-ketar macam pesakit Parkinson ni kenapa?’
“Kau maafkan aku tak, Nur Irdeena bt Hafsyimi? Dengar tak apa aku cakap ni? Aku bukannya tunggul kayu kat sini.” Ambik kau. Siap nama penuh lagi aku sebut. Dah macam nak lafaz akad nikah pun ada.
‘Hai, mamat sorang ni. Ingatkan dah berubah. Rupanya, mulut machine gun dia masih berfungsi lagi la. Oh my Mr. Sniper!’ Irdeena tersenyum sendiri.
“Ye, aku maafkan kau. Tapi dengan satu syarat.”  Irdeena menahan gelak melihat dahi Amirul yang berkerut.
“Apa syaratnya?”
Irdeena sengaja mendiamkan diri. Biar mamat tu rasa suspen sikit. Sebenarnya sudah lama dia menunggu lamaran lelaki itu. Sejak dia tahu lelaki itulah yang menyelamatkan dia lagi. Tak sangka pulak dia akan terjumpa lelaki ni kat depan Jabal Rahmah ni. Sungguh indahnya takdir Allah! ‘Terima kasih, Allah atas segala apa yang Kau tentukan untukku. Aku serahkan segala urusanku pada-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah sebaik-baik perancang.’

No comments:

Post a Comment