Sunday, 24 August 2014

CERPEN: Di Sebalik Wajah Itu


“Doktor, ada emergency! Kat OT 1!” Dengan tergesa-gesa, Imran Hakimi menyarungkan gown pembedahan dan segera bergegas ke dewan pembedahan tanpa sempat menghabiskan suapan rotinya. Sejurus tiba di dewan bedah, kelihatan sebatang tubuh berlumuran darah terbaring kaku di atas katil.

           “Apa yang berlaku?” Tanya Imran, sambil memeriksa nadi dan tekanan darah pesakit tersebut.
            “Accident motor,” jawab Normala, jururawat yang menjaga pesakit itu. Tidak lama kemudian, muncul Dr. Kamal dan beberapa orang doktor pelatih yang sudah bersedia dengan pakaian gown pembedahan. Tanpa membuang masa, Imran menyuntik jarum bius pada lengan kiri pesakit itu.
Setelah keadaan pesakit stabil, Imran memberikan isyarat kepada Dr. Kamal untuk memulakan pembedahan. Semasa pembedahan tersebut dijalankan, pesakit beberapa kali mengalami masalah pernafasan. Berhempas pulas Imran mengawal mesin pernafasan supaya keadaan pesakit kembali stabil. Mulutnya tidak lekang berselawat agar urusan pembedahan berjalan lancar.
Akhirnya, setelah hampir 3 jam, pembedahan tersebut selesai, namun begitu, tugas Imran masih belum selesai lagi. Dia perlu menunggu kira-kira sejam bagi memastikan keadaan pesakit betul-betul stabil sebelum memindahkan pesakit tersebut ke wad.
            “Saya pergi dulu ye. Kalau ada apa-apa breathing problem, sila call saya, ok?” Pesan Imran kepada staff jururawat yang menjaga wad ICU tersebut. Imran melangkahkan kaki ke surau untuk menunaikan solat jamak magrib dan isyak.
Semenjak dia bergelar doktor bius, dia seringkali menjamakkan solat kerana jadual pembedahan yang agak padat. Setelah itu, dia turut menunaikan solat sunat taubat dan membaca beberapa potong ayat al-Quran. Tidak lupa, dia turut menyedekahkan al-Mulk kepada semua ahli keluarganya yang telah bertemu dengan al-Khalik. Tanpa sedar, manik-manik jernih terburai keluar daripada kolam matanya dan akhirnya dia terlelap seketika.
*          *          *
            Jam di dashboard kereta Perodua Myvi menunjukkan pukul 6.50 pagi. Jalan raya di tengah kota mulai sesak dengan kenderaan. Lampu-lampu neon masih lagi menyimbahkan cahayanya ke jalan raya. Sudah hampir tiga tahun Erlina Adriyana tidak memandu semenjak lulus ujian JPJ. Hari ini dia terpaksa memandu kerana sahabat baiknya tidak dapat bertugas kerana keracunan makanan. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, dia memulakan pemanduannya dengan penuh debaran.
            “Pin, pin, pin!” Bunyi hon sudah lali di telinga Erlina. Pagi ini sahaja, sudah beberapa kali dia menerima bunyi hon.
            “Sorry lah, aku dah lama tak drive. Tengoklah nanti, kalau aku dah teror bawak kereta, aku hon kan korang balik,” omel Erlina. Tiba-tiba, kedengaran bunyi dentuman kuat dari arah belakang keretanya. Erlina sangat terperanjat. Dari cermin pandang belakang, dia dapat melihat sebuah kereta putih melanggar belakang keretanya. Dalam keadaan panik, Erlina segera memberhentikan keretanya di tepi jalan.
            “Nasib baik ada seatbelt, kalau tak, mahu berdarah jugak muka aku ni,” Erlina segera membuka tali pinggangnya dan mengurut dadanya bagi meredakan kekalutannya. Tiba-tiba, dia teringat satu SMS yang dikirim oleh temannya yang berbunyi.
“Perhatian kepada pengguna jalan raya. Sekiranya ada kereta yang melanggar kereta anda dari belakang, jangan berhenti. Ini merupakan taktik terbaru untuk mencuri dan melarikan kereta anda. Sila sebarkan mesej ini kepada orang yang anda sayangi.” - Aisyah
Seorang lelaki mengetuk tingkap keretanya. Erlina memandang wajah lelaki itu sekilas. Lelaki itu kelihatan serabut dengan rambut yang serabai dan mata yang merah. ‘Macam scary je mamat ni. Baik aku cepat-cepat cabut sebelum perkara buruk terjadi.’
Dia menekan pedal minyak sekuat hati kerana bimbang akan keselamatan dirinya. Anehnya, kereta tersebut tidak bergerak, tetapi mengaum dengan kuat. ‘Apa masalah dengan kereta ni? Matilah aku kena sembelih dengan Aisyah ni. Apa yang aku dah buat ni?’
‘Kenapa dengan minah ni? Gelabah semacam je aku tengok. Kenapa tak nak turunkan tingkap pun? Ingat aku nak ngorat dia ke?’ Bisik hati lelaki itu.
Erlina mula membaca ayat-ayat lazim dan berharap agar tidak berlaku sesuatu yang buruk padanya pada pagi itu. Lelaki tadi terus-terusan mengetuk cermin tingkap pemandu. ‘Ketuklah sampai jari patah pun, aku takkan sekali-kali turun dari kereta ni. Asalkan aku dengan kereta ni selamat. Selamat? Selamat apa kalau dah kemek kat belakang?’
Dalam kekalutan itu, Erlina baru perasan bahawa dia lupa menukar gear ‘P’ kepada gear ‘D’. “Patutlah kereta tak gerak. Kalau pakai gear ‘P’ sampai tahun depan pun tak jalan kereta ni. Adoi, macam mana lah aku boleh tak perasan,” rungut Erlina lalu segera menukar ke gear ‘D’ dan beransur ke jalan raya.
“Aik, peliknya! Blah macam tu je? Tak kira, aku kena bertanggungjawab jugak sebab aku yang langgar kereta dia,” kata lelaki itu lantas mengekori Perodua Myvi kuning itu sehingga tiba di hadapan pintu pagar sebuah sekolah menengah. ‘Dia ni cikgu kat sekolah ni, ke? Dah lah aku tak kenal siapa dia? Takkan tiba-tiba nak terjah kot? Terpaksalah aku tunggu sampai habis waktu sekolah. Nasib baik hari ni aku off day.’ Sementara menunggu waktu sekolah tamat, lelaki itu sempat terlelap di tempat duduk pemandu.
*          *          *
            “Kringgg!!!” Bunyi loceng tersebut menandakan tamatlah sesi persekolahan pada hari itu. Pelajar kelas tingkatan 3 Dinamik bersorak riang. Masing-masing sudah mengemaskan meja dan bersiap-siap untuk pulang.
            “Terima kasih, Cik Erlina,” ucap ketua Tingkatan 3 Dinamik yang kemudiannya diikuti oleh pelajar kelas yang lain.
            “Sama-sama. Jangan lupa untuk siapkan folio dan homework yang saya bagi ye. Kalau ada apa-apa masalah, boleh jumpa saya nanti kat bilik guru. Enjoy your weekend,” kata Erlina kepada pelajar kelasnya. Setelah selesai semua urusannya, dia bergerak pulang ke rumah.
            Sebaik saja tiba di pintu pagar rumah sewanya, dia dikejutkan dengan kemunculan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Dengan rasa curiga, Erlina melangkah perlahan-lahan ke pintu pagar.
            “Assalamualaikum, saya Imran Hakimi. Saya yang langgar kereta awak pagi tadi,” terketar-ketar lelaki itu menuturkan kata-kata.
            “Waalaikumussalam. Macam mana awak tau rumah saya kat sini? Awak stalk saya, ke? Awak nak rompak saya ke?” Soal Erlina bertubi-tubi. Dia betul-betul risau akan keselamatannya sekarang ini. ‘Lelaki ni bukannya boleh percaya sangat. Dah la sekarang ni macam-macam kes berlaku. Aku kena sentiasa beringat. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah.’
            Imran bingung seketika. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Niatnya ikhlas ingin bertanggungjawab tetapi telah disalah ertikan. ‘Penat-penat je aku stay kat sekolah tadi tunggu dia keluar, dia tuduh aku stalk pulak. Kenapa pulak aku nak stalk dia? Dia ni anak Dato’ ke? Ke anak permaisuri Agong? Perasan jugak ye minah ni.’ Dia menghela nafas panjang kemudian berkata, “Muka saya ni ada macam muka perompak ke?”
            “Saya tak percayakan orang asing. Sekarang ini bukannya boleh percaya orang sangat. Muka macam budak surau pun boleh jadi perompak. Kalau awak tak beredar dari sini, saya jerit nanti!” ugut Erlina. Suaranya sengaja ditinggikan untuk menakut-nakutkan lelaki itu.
            “Kalau awak tak percaya saya, tak mengapa. Ini kad saya dan bayaran yang saya anggarkan untuk kerosakan kereta awak. Kalau tak cukup, nanti sms saya nombor akaun bank awak untuk saya bank in. Maaf atas kecuaian saya,” ujar Imran sambil menghulurkan kad dan beberapa not RM50 kepada Erlina. Erlina terpaku memandang kad dan duit tersebut.
*          *          *
Malam sudah melabuhkan tirainya. Usai melawat pesakit-pesakit yang akan menjalani pembedahan esok, Imran menghalakan langkahnya ke kerusinya. Hari ini merupakan hari yang sangat mencabar baginya kerana dia terpaksa mengendalikan empat pembedahan secara berterusan. Bukan mudah untuk menjadi seorang doktor bius. Ketahanan mental dan fizikal perlu kuat agar dapat memberikan keselesaan kepada pesakit semasa pembedahan dijalankan.
            Imran menjamah roti bagi mengalas perutnya yang kosong. Tadi, dia hanya sempat berbuka puasa dengan meneguk air mineral saja. Dia menatap gambar ahli keluarganya yang diambil semasa hari raya aidilfitri kira-kira dua dekad yang lalu. Rasa rindu yang bertandang di hatinya tidak pernah luntur semenjak kesemua ahli keluarganya menemui Ilahi. Dia sangat kecewa kerana tidak sempat menyelamatkan ahli keluarganya dalam kemalangan itu. Sejak itu, dia bertekad untuk menjadi seorang doktor untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Bunyi nada dering telefon bimbitnya menyentak lamunannya.
            “Hello, assalamualaikum doktor Imran,” Ustaz Zul memberi salam di panggilan.
            “Waalaikummussalam, Abi. Tak payah la panggil doktor. Segan saya.” Imran tersenyum.
            “Sejak bila tau segan ni? Kalau tak panggil doktor, nak panggil pe? Bos?” Usik Ustaz Zul. Imran tergelak mendengar usikan itu.
            “Abi apa khabar? Sihat?”
            “Alhamdulillah, sihat orang tua. Hehe. Lama bebenor tak jumpa kamu ni. Kamu bila nak balik sini?”
            “Entahlah Abi. Saya akan cuba balik dalam hujung bulan ni lah.”
            “Bukannya apa, saja nak ajak kamu berkenal-kenalan dengan tunang kamu dan keluarga dia.” Imran terdiam seribu bahasa. Merah padam mukanya. Rasa malu mula mencucuk tangkai hatinya. Dia akui semenjak dia bertunang sebulan yang lepas, dia tidak pernah lagi bertentang mata dengan tunangnya dan keluarga tunangnya. Semua urusan pertunangan diserahkan bulat-bulat kepada Ustaz Zul dan Mak Cik Leha merangkap bapa dan emak angkatnya.
            “Hello, Imran. Hello, hello.”
            “Kalau macam tu, nanti saya bagitau balik dengan Abi bila saya boleh balik.”
            “Abi pun dah ngantuk ni. Nanti kalau ada apa-apa, telefonlah Abi ye. Assalamualaikum.”
            Imran menjawab salam seraya memutuskan talian. Masa begitu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik sudah sebulan dia bergelar tunangan orang. Dia memang tidak kenal langsung tunangnya. Dia cuma tahu yang tunangnya itu seorang yang menjaga aurat dan berasal daripada keluarga yang baik-baik melalui apa yang dikhabarkan oleh Ustaz Zul. Baginya, rupa paras tidak penting, yang paling penting agamanya sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
*          *          *
“Perhatian, panggilan terakhir kepada pemegang tiket Tren GOLD ETS ke Ipoh, tren akan berlepas dalam masa lima minit lagi di platform 2 gate B. Harap maklum.”
Terkocoh-kocoh Erlina berlari bersama bagasinya ke gate B di KL Sentral. ‘Tren, mu tunggu ku datang ye. Jangan gerak lagi.’ Erlina tiba lewat sedikit daripada perancangan gara-gara traffic jam. Dia menarik nafas lega sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di tempat duduk bernombor 7A. Akibat terlalu letih, Erlina terlelap di tempat duduknya.
“Excuse me, ini tempat duduk saya,” ujar seorang lelaki yang berpakaian T-shirt berkolar hijau epal. Dia menyangka gadis itu hanya sengaja memejamkan mata atau buat-buat tidur saja. Dia tidak dapat melihat wajah gadis itu kerana dia menundukkan wajahnya. “Assalamualaikum, awak salah tempat ni. Ni tempat duduk saya.”
Lelaki itu menatap semula tiket tren yang dipegangnya tadi. Dia memang yakin itulah tempatnya. Dia cuba mengejutkan gadis yang berbaju kurung itu sekali lagi namun tiada respon yang diterima. ‘Takkan dia ni tidur mati kot? Dia ni hidup lagi ke tak?’ Lantas, lelaki itu meletakkan dua jarinya di atas pergelangan tangan gadis itu yang beralaskan kain baju kurung untuk memeriksa nadi.
“Tolong, ada orang cuba nak cabul saya!” Jerit Erlina sebaik saja tersedar dari lenanya. Lelaki tersebut terkejut dengan reaksi gadis di hadapannya itu. Mereka saling berpandangan. ‘Muka mamat ni macam familiar je. Tapi, di mana ye?’
“Kau yang bawak kereta Myvi kuning tu kan?”
“Kau yang stalker tu kan?”
Soal mereka serentak. Penumpang lain di dalam koc itu turut memandang mereka. Ada di antara mereka yang berbisik sesama sendiri. Merah padam muka Imran menahan malu. ‘Sejak bila pulak aku jadi stalker ni?’
“Maaf, ni semua salah faham. Saya bukanlah macam yang korang semua fikirkan.” Malunya, tercemar maruah aku sebagai seorang lelaki. Siaplah perempuan ni! Berani dia mencalarkan imej aku! Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas!
“Boleh aku tengok tiket kau?” Imran cuba menahan rasa amarahnya. Dia masih tidak berpuas hati kerana dimalukan oleh gadis itu.
“Kenapa kau nak tengok tiket aku? Kau tak ada hak nak tengok,” ingat senang-senang je aku nak bagi dia tengok tiket. Dah lah aku tak kenal siapa dia. Entah datang dari planet mana pun aku tak tau.
“Aku rasa kau yang salah tempat duduk ni. Ni tempat duduk aku. Cuba kau tengok balik tiket kau. Kau koc mana?”
Erlina menatap tiket trennya. Suka hati je nak tuduh orang salah tempat duduk. Entah-entah dia yang salah tengok tiket dia. “Saya koc B.”
“Cuba tengok depan, kau sekarang duduk kat koc mana?” Pantas anak mata Erlina menangkap huruf C di hadapan koc tersebut. Kini, giliran dia pula merasa malu. Disebabkan terlalu kelam-kabut untuk menaiki tren, dia terus saja meluru ke tempat duduk sehingga terlupa melihat nombor koc. Akhirnya, Imran tersenyum puas kerana berjaya membuatkan perempuan itu malu pula.
*          *          *
            Rumah banglo berwarna hijau ditenung lama. ‘Besar jugak rumah ni. Betul ke ni rumah dia? Ke rumah Perdana Menteri?’
            “Jomlah masuk. Buat apa duk tercegat kat situ?” Ustaz Zul tersenyum memandang satu-satu anak angkatnya itu. Imran membalas senyuman bapa angkatnya itu. Imran kelihatan tenang pada zahirnya, walhal hatinya sudah dipukul ombak tsunami. Jantungnya berdegup kencang seolah-olah berlari marathon seribu meter.
            Imran menyalami bakal bapa mertuanya. Dia turut melemparkan senyuman manis kepada bakal ibu mertuanya. Dalam keadaan yang serba kekok dia melabuhkan punggung di sofa mewah milik keluarga itu. Mereka berkenal-kenalan antara satu sama lain. Banyak perkara yang dibualkan termasuklah latar belakang diri, komitmen kerja serta kesediaan untuk menggalas tanggungjawab untuk mendirikan rumahtangga.
            “Haa, mama nak perkenalkan. Ni lah tunang kamu, Imran Hakimi,” ujar seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an sebaik saja ternampak kelibat anaknya yang baru menuruni anak tangga.
Anak mata Imran turut memandang ke arah gadis itu yang tampak sopan berbaju kurung pink dan bertudung. Imran yang ketika itu sedang menghirup air sirap hampir tersedak kerana terlalu terkejut dengan apa yang dilihatnya. ‘Eh, minah ni bukan perempuan yang salah seat dalam tren tadi ke? Biar betul dia ni tunang aku?’
Erlina juga turut terkejut bagaikan terkena kejutan elektrik. Terasa bahang di pipinya dek menanggung rasa malu yang amat. ‘Ya Allah, betulkah dia ni tunang aku? Maybe dia ni pelanduk dua serupa kot. Harap-haraplah ni bukan mamat stalker tu. AMIN.’ Erlina cuba menyedapkan hatinya.
“Imran, sudah-sudahlah duk usha anak dara orang. Nak usha lama-lama tunggu akad nikah dulu. Hehe,” bisik Ustaz Zul diiringi dengan cubitan kecil di paha Imran. Imran tersedar dari lamunannya. Dia baru menyedari bahawa semua yang ada memandangnya. Wajahnya merah padam. Imran hanya mampu memandang lantai ketika itu. Sungguh, dia benar-benar malu!
“Jemputlah makan tengah hari sekali. Saya masak banyak ni. Jangan segan-segan ye,” ibu gadis tadi mempelawa Imran sekeluarga makan bersama. Selesai makan, mereka menunaikan solat Zuhur secara berjemaah yang diimamkan oleh Imran. Mereka kemudiannya meminta diri untuk pulang. Sebelum Imran sampai ke pintu pagar, dia menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
“Hello,” Diam. Tiada respon daripada pemanggil.
Di sudut balkoni banglo itu, Erlina memandang Imran dengan pandangan mata yang tajam. Telefon bimbitnya dipegang kemas. Kad yang pernah diterimanya daripada Imran sewaktu accident kereta hari tu hampir terlepas dari tangannya. Harapannya berkecai namun dia tidak pula berasa kecewa. Dalam diam, hatinya mula tertarik dengan lelaki yang digelarnya stalker itu.
*          *          *
            Habis basah lencun tudung Erlina disirami air mata. Perasaannya bercampur baur. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dia tidak menyangka bahawa dia berpeluang menemui lelaki tua itu setelah lima belas tahun terpisah. Sukar bagi dia untuk menerima hakikat mereka bertemu dalam keadaan yang sebegitu.
            Pagi itu, Erlina berjogging di taman berhampiran rumah sewanya seperti biasa. Dalam perjalanan pulang, dia menyaksikan satu kemalangan yang dahsyat antara sebuah motosikal dengan sebuah lori. Penunggang motosikal tercampak betul-betul di hadapannya. Erlina panik dan kaget seketika. Dia segera menelefon ambulans. Sementara menunggu ambulans tiba, dia melihat wajah penunggang motosikal itu yang sudah pengsan dan berlumuran dengan darah. Hatinya menjerit, ‘Papa?’
            Lelaki tua itu terpaksa dibedah dengan segera bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf akibat kemalangan. Imran memandang dalam-dalam wajah lelaki tua yang sedang terbaring lemah di atas katil itu. Hatinya sakit memikirkan apa yang telah dilakukan oleh lelaki tua itu terhadap keluarganya. Namun, dia cepat-cepat beristighfar untuk menusir rasa amarah itu. Tanpa disedari, kenangan pahit itu melintasi fikirannya. Walaupun peristiwa hitam sudah berlalu begitu lama, namun ianya masih segar dalam ingatan.
“Banyaknya kerja sekolah. Lenguh dah tangan ni. Dari tadi tak habis-habis,” rungut Imran yang baru setengah jam memulakan sesi ulangkajinya. Mama dan abahnya tidak membenarkan dia menonton televisyen dan bermain permainan komputer sehingga dia selesai menduduki UPSR tidak lama lagi. Adik-adiknya juga telah diberi amaran untuk tidak mengganggunya. Imran berasa tidak berpuas hati dengan layanan mama dan abahnya terhadapnya.
Pada malam itu, dia menunjukkan protes dengan tidak mengikut keluarga makan malam di restoran. Setelah beberapa minit keluarganya keluar dari rumah, dia terus saja mencapai remote control televisyen di ruang tamu dan menonton siri kartun ‘Kampung Boy’ yang disiarkan di saluran Astro Ceria. Dia mengambil kesempatan ini untuk memuaskan jiwa kanak-kanaknya.
            Tiba-tiba, dia terdengar bunyi berdentum dan brek yang agak kuat di atas jalan raya. Dia segera menjengukkan kepala ke luar tingkap. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat kereta abahnya remuk teruk dilanggar sebuah lori betul-betul di simpang masuk ke rumahnya. Tanpa berfikir panjang, Imran segera berlari ke arah jalan kereta yang remuk dengan berkaki ayam kerana terlupa menyarungkan selipar.
            “Abah! Mama! Ilya! Ija! Ima!” Jerit Imran sekuat hatinya. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan, dia melihat dengan jelas satu persatu wajah ahli keluarga yang menderita kesakitan dan berlumuran darah. Anak matanya sempat menangkap kelibat pemandu lori tersebut yang menghilangkan diri di sebalik semak.
            Imran menghampiri kereta yang telah remuk itu. Belum sempat Imran tiba, kereta tersebut hangus dijilat api dan akhirnya mengeluarkan bunyi letupan yang dahsyat. “Abah! Mama! Ilya! Ija! Ima! Tidakkkk!” Laung Imran. Kakinya tidak mampu lagi berdiri dan akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri.
            Imran tersedar lamunannya tatkala Dr. Saiful menepuk bahunya. “Dah lebih sejam awak tunggu kat sini? Patient tak ada apa-apa problem, kan? Tak rasa lapar ke?”
            Imran tersengih macam kerang busuk. Kemudian, dia mengatur langkahnya ke pintu keluar. Sebaik saja Imran keluar dari dewan pembedahan, dia ternampak seorang perempuan yang amat dikenalinya. Imran segera menghampiri perempuan itu.
            “Erlina, kenapa ni? Apa yang dah berlaku?” Soal Imran sebaik saja melihat wajah sembab Erlina. Erlina tidak menjawab soalan itu sebaliknya mengalirkan air matanya. Imran bingung. Dia tidak tahu bagaimana mahu menenangkan hati tunangnya itu. Akhirnya, Imran hanya duduk di situ sebagai pemerhati.
*          *          *
Assalamualaikum, Erlina Adriana, satu-satunya puteri yang amat papa sayangi. Apa khabar, sayang? Papa rindukan kamu sangat-sangat. Semenjak dari hari pertama papa masuk penjara, papa sentiasa teringat akan kamu. Papa selalu tertanya-tanya, bagaimana keadaan kamu? Kamu sihat ke? Macam mana sekolah kamu? Bagaimana rupa kamu? Sejak dari hari pertama papa dibebaskan daripada penjara, setiap hari papa cuba cari kamu. Papa selalu pergi ke taman permainan tempat kamu bermain-main sewaktu kamu kecil dulu untuk melepaskan rindu. Papa selalu makan ais-krim potong yang kamu suka sangat tu. Papa selalu juga lalu di hadapan sekolah rendah kamu dulu. Teringat dulu-dulu papalah yang hantar kamu ke sekolah setiap pagi. Pada suatu hari, Allah takdirkan papa ternampak mama kamu singgah di salah sebuah rumah di Taman Cempaka. Sejak itu, papa dapat tahu kamu tinggal di situ. Papa rasa bersyukur sangat kerana dapat lihat kamu masih hidup. Kamu membesar sebagai seorang gadis yang sangat cantik. Papa rasa gembira sangat walaupun dapat melihat kamu dari jauh. Setiap hari papa pasti akan lalu di hadapan rumah kamu sehingga lewat malam baru papa pulang. Papa teringin sangat nak memeluk kamu, tapi papa tak punya kekuatan untuk berdepan dengan kamu. Maafkan papa, sayang. Papa memang seorang ayah yang tak berguna. Maafkan papa sebab tak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ayah kepada kamu dengan sempurna. Maafkan papa sebab membuatkan hidup kamu sengsara. Maafkan atas segala kekurangan papa. Papa sentiasa doakan agar kamu sentiasa bahagia dan menjadi anak yang solehah.
Daripada, Papa yang Hina.
            Air matanya tidak henti-henti mengalir sepanjang dia membaca sepucuk surat yang dijumpai dalam beg silang papanya itu. Dia mengucup surat itu beberapa kali. Sungguh, dia benar-benar rindukan ayahnya. Kali terakhir dia bertemu dengan ayahnya sewaktu dia berusia sepuluh tahun, ketika ayahnya melepaskan talak pada ibunya. Beberapa bulan selepas itu, ibunya menikahi lelaki yang kini menjadi abahnya. Sejak itu, dia tidak mendengar sebarang berita berkenaan dengan papanya sehinggalah dia terbaca keratan akhbar berkaitan dengan penahanan papanya ketika dia di bangku sekolah menengah.
            Erlina menggenggam erat tangan papanya yang masih koma di wad ICU hospital itu. Dia benar-benar berharap agar papanya dapat sedar daripada koma. Dia rindukan suara papanya. Dia rindukan sentuhan papanya. Dia ingin papanya segera sembuh dan menghadiri majlis perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
            Di satu sudut ruang itu, sepasang mata milik Imran memerhati perlakuan Erlina. Imran cuba menerima hakikat bahawa lelaki tua yang terbaring lemah itu adalah ayah kandung kepada bakal isterinya. Bukan mudah untuk memaafkan kesilapan lelaki itu sehingga menyebabkan semua ahli keluarganya terkorban dalam keadaan yang tragis.
 Beberapa kali dia mendirikan solat sunat agar diberi ketenangan hati. Sungguh, dia tidak kuat untuk menerima kenyataan itu. Imran cuba menyematkan ke dalam hatinya hadis Rasulullah yang bermaksud, ‘Orang mukmin yang kuat  (segalanya) itu, lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin  yang lemah sedang setiap (mukmin) itu semuanya  baik.’ Berbekalkan segenggam ketabahan dan kesabaran, Imran menapakkan kaki ke wad ICU itu.
            “Erlina, awak dah solat?” Tanya Imran yang berdiri sejauh satu meter daripadanya. Erlina mengangguk perlahan. Erlina sendiri tidak perasan sejak bila Imran berdiri di situ.
            “Dah makan?” Tanya Imran lagi. Dia risau betul melihat keadaan tunangnya itu. Erlina terdiam sejenak.
            “Erlina, saya faham perasaan awak sekarang ni. Tapi kesihatan awak pun kena jaga jugak. Jom ke kafe. Saya belanja awak makan.”
            “Tak pelah. Menyusahkan awak je. Saya tak lapar pun.” Erlina menolak pelawaan Imran. Tiba-tiba, kedengaran bunyi keroncong dari perut Erlina.
            Imran tersenyum. “Tengok tu, perut dah marah. Tak baik tipu bakal suami tau. Berdosa!” Usik Imran.
            Akhirnya Erlina terpaksa mengalah. Dalam hati, Erlina bersyukur kerana dikurniakan seorang tunang sebaik Imran. Semenjak perkenalan mereka, Imran sentiasa menjaga batas pergaulan dengannya dan amat menghormatinya. Dia berharap agar Allah memberkati hubungan mereka.
*          *          *
Beberapa bulan kemudian...
            Angin sepoi-sepoi bahasa mendamaikan jiwa seorang pemuda yang hampir sejam berteleku di pusara ahli keluarganya. Kesemua ahli keluarganya dikebumikan dalam satu liang lahad yang besar. Sudah hampir dua dekad dia menziarahi pusara itu.
Namun, terasa seperti baru semalam dia bersalaman dengan mama dan abahnya. Terasa baru semalam dia mengusik adik-adiknya. Terasa baru semalam dia makan bersama-sama dengan semua ahli keluarganya. Sungguh pantas masa berlalu. Dia belum sempat lagi memohon maaf kepada mama dan abahnya atas kesilapannya. Belum sempat lagi dia membalas jasa ibu dan ayahnya. Namun, apakan daya, takdir Allah siapa yang dapat melawannya. Lamunannya terhenti tatkala terdengar suara serak-serak basah memberi salam kepadanya.
            “Eh, pak cik buat apa kat sini?” Imran berasa terkejut dengan kehadiran Encik Karim merangkap bakal bapa mertuanya. Encik Karim melabuhkan punggungnya di sisi Imran.
            “Ada satu benda yang aku nak sangat tanya kau sejak pertama kali aku nampak kau kat hospital. Kau ni anak Ir. Suhaimi ke?” Soal lelaki tua itu sambil memandang wajah anak muda itu yang benar-benar mirip dengan wajah arwah Ir. Suhaimi. Imran mengangguk lemah.
            “Kau masih ingat aku lagi tak? Aku dulu pernah accident dengan kereta ayah kamu dulu,” terketar-ketar pak cik tua itu melontarkan kata-kata. Air mata penyesalan mengalir membasahi pusara itu. Sungguh dia menyesal dengan perbuatan jahilnya dulu. “Aku rasa bersalah sangat pada kamu, nak. Sebab aku, kau hilang semua ahli keluarga dalam sekelip mata. Sebab aku jugak, kamu jadi yatim piatu. Semua yang berlaku ni salah aku!”
            “Pak cik jangan menyalahkan diri sendiri. Pak cik tak bersalah. Sudah takdir saya hidup sendiri. Lagipun, pak cik tak sengaja langgar kereta malam tu.” Imran cuba memujuk Encik Karim. Dalam masa yang sama dia juga sedang memujuk jiwanya. Tangisan Encik Karim semakin kuat.
            “Kalau kau nak tahu, aku memang berniat dengan sengaja untuk langgar ayah kamu. Dulu ayah kau seorang engineer yang sangat strict. Memang susah nak dapatkan kelulusan projek daripada dia. Aku sangat geram kerana dia tak luluskan projek mega yang aku nak buat dulu. Aku jadi hilang pertimbangan akal, jadi..” pak cik Karim tidak dapat menghabiskan ayatnya kerana terlalu sebak. Dia menangis teresak-esak di tepi pusara. “Aku memang bersalah. Selepas family kamu mati, hidup aku kucar-kacir. Projek yang aku buat tu banyak masalah. Aku dikenakan saman yang tinggi. Aku terpaksa ceraikan bini aku sebab aku tak mampu nak tanggung deorang. Aku diisytiharkan muflis. Lepas tu, aku kena tangkap sebab menyeleweng duit syarikat. Itulah balasan yang terpaksa aku terima atas dosa yang aku buat. Aku betul-betul rasa bersalah pada kamu.”
            Imran turut sama mengalir air mata. Imran terdiam seribu bahasa. Hatinya berang mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut lelaki tua di hadapannya itu. Merah padam wajahnya menahan rasa amarah yang bergumpal padu di muara hatinya. Imran beristighfar beberapa kali untuk meredakan hatinya daripada cengkaman amarah.
            “Aku minta ampun daripada kau, Imran. Aku ni memang tak layak untuk hidup. Patutnya kau bunuh je aku time operation hari tu. Kau memang seorang yang sangat baik kerana sanggup selamatkan nyawa orang yang bunuh keluarga kau sendiri. Hukumlah aku kalau itu dapat memuaskan hati kau. Sekali lagi, aku betul-betul minta maaf pada kau.” Sukar bagi Imran untuk memaafkan kesalahan itu. Hatinya begitu pedih bagai ditikam tombak.
Dia cuba memaafkan perbuatan bakal bapa mertuanya walau hatinya amat berat. Baginya, nasi sudah menjadi bubur. Walau sakit hati macam mana sekalipun, keluarganya tidak akan hidup semula. Semenjak pemergian keluarganya, dia belajar untuk menerima qadha dan qadar yang Allah telah tentukan untuk dirinya.
“Setiap orang melakukan tidak terlepas melakukan dosa. Pak cik banyakkan beristighfar dan bertaubat pada Allah ye. Rahmat Allah tu luas. Allah tu Maha Pengampun. Saya tak simpan apa-apa dendam pun pada pak cik. Lagipun, kita kan satu keluarga,” ujar Imran sambil memeluk erat lelaki tua itu. Mereka berpelukan dalam tangisan yang sangat panjang.
*          *          *
“Aku terima nikahnya Erlina Adriana bt Karim dengan mas kahwin seratus lima puluh ringgit tunai,” dengan sekali lafaz Imran telah sah menjadi suami kepada Erlina. Erlina memanjatkan rasa syukur yang tidak terperi kepada Ilahi. Dia membalas senyuman manis yang dilemparkan oleh Imran. Erlina menyalami Imran buat pertama kalinya setelah selesai solat sunat nikah secara berjemaah. Sungguh indah rasa yang hinggap di lubuk hatinya ketika itu.
“Selamat pengantin baru, Lina. Untunglah kau. Dapat suami handsome, soleh pulak tu,” ujar Aisyah. Dia memeluk erat sahabat karibnya itu. Erlina tersenyum bahagia sambil memandang ke arah suaminya yang sedang bersalaman dengan papanya. ‘Boleh tahan jugak mamat stalker ni. Kenapalah selama ni aku tak perasan yag dia ni handsome sebenarnya?’
“Kau jaga elok-elok anak aku ye. Sayangilah dia sepenuh hati. Jangan kau macam aku dulu.” Imran mengangguk seraya tersenyum. Papa Erlina memeluk erat menantunya yang pernah dilukai hatinya.
“Terima kasih atas nasihat papa. Imran dah maafkan kesilapan papa dulu. Jangan diungkit lagi kesilapan dulu ye. Sekarang kita buka buku baru ye,” ujar Imran sambil menepis air mata yang menitis daripada mata bapa mertuanya. Hatinya kini benar-benar bahagia. Benarlah kata-kata arwah mamanya dulu, “Imran, walau apa pun berlaku, kamu jangan sesekali berdendam dengan orang. Dendam tu memusnahkan kehidupan. Jadilah seorang yang pemaaf, insya-Allah, hati akan sentiasa tenang.”

No comments:

Post a Comment